Tuesday 12 June 2012

PENGAJARAN MAKRO


PENGAJARAN MAKRO

Definisi Makro

                  Makro bermaksud awalan yang banyak. Pengajaran makro merangkumi segala proses pengajaran, sekurang-kurangya satu unit kemahiran, dalam sesuatu waktu pelajaran. Di dalam proses makro meliputi tiga peringkat pemulaan pengajaran, perkembangan dan penutup. Ia merupakan simulasi  satu pengajaran yang lengkap kepada satu kelas biasa. Simulasi boleh dilakukan di dalam bilik darjah, makmal atau bilik tayangan. Pengajaran makro merupakan kesepaduan teknik-teknik pengajaran mikro yang disokong oleh perancangan pengajaran pembelajaran yang sekian lama dipelajari.
Perkataan Mikro diambil dari bahasa ‘Greek’ yang bermakna kecil. Ini beerti pengajaran mikro adalah proses pengajaran yang dijalankan dalam unit kecil sebagai simulasi kepada guru pelatih. Pengajaran mikro bertujuan untuk mengurangkan masalah-masalah yang mungkin timbul semasa pengajaran makro dijalankan.
Sebelum melaksanakan sesi pengajaran makro, guru pelatih perlu merancang dan menyediakan persediaan mengajar yang lengkap dan baik. Perancangan yang lengkap akan menghasilkan pengajaran yang baik dan berkesan.


Objektif Pengajaran Makro

                   Di antara objektif-objektif pengajaran makro ialah ia menyediakan suatu kemahiran lengkap kepada semua guru pelatih serta mempraktikkan suatu suasana sebenar apabila mengajar  dan juga ia akan memperbaiki kelemahan-kelemahan pengajaran yang berlaku di samping mengukuhkan kelebihan mengajar. Selain itu, ia bertujuan supaya memahami ciri-ciri perancangan pengajaran makro dan membina rancangan pengajaran makro mengikut format latihan seterusnya dapat mengaplikasikan sesi pengajaran makro dalam bilik darjah.
     Di antara objektif lain ialah :
*  Memberi keyakinan kepada guru
*  Menguasai kemahiran mengajar
*  Mengenal pasti potensi guru
*  Mengenal pasti kelemahan guru
*  Mewujudkan semangat kekitaan dan bekerjasama


Situasi Pengajaran Makro

1) Kelas besar terdiri daripada 30 hingga 40 orang murid
2) Murid sebenar
3) Guru pelatih, mengajar sepenuh masa
4) Tumpuan kepada pelbagai kemahiran mengajar
5) Situasi sebenar pengajaran
6) Perancangan menyeluruh untuk satu sesi pengajaran

Prinsip Pengajaran Makro
Antara prinsip pengajaran makro ialah:-

Objektif pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran makro, guru mempunyai objektif yang besar dan luas merangkumi aras pengetahuan pelajar.

Jumlah pelajar. Jumlah pelajar yang terlibat jauh lebih ramai bergantung kepada bilangan pelajar di dalam kelas sebenar. Pelajar yang terlibat adalah pelajar yang sebenar dan bukan dari lakonan rakan-rakan. Justeru itu, pengajaran guru adalah mencabar dengan karenah para pelajar.

Strategi pengajaran. Dalam pengajaran mikro, guru perlu mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran supaya sesi pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik.

Jangkamasa Pengajaran. Jangkamasa yang ditentukan dalam pengajaran makro adalah berdasarkan kepada jadual waktu kelas yang memakan masa selama antara 35 hingga 45 minit satu masa. Ekoran itu, guru perlu bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan peruntukan masa yang ditetapkan.

Bahan pelajaran. Dalam pengajaran makro, guru perlu menyampaikan keseluruhan isi pengajaran yang telah dirancang dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Oleh itu, guru perlu menguasai sepenuhnya bahan yang hendak disampaikan dan tumpuan guru ketika menyampaikan adalah menyeluruh.

Perbincangan dan refleksi. Penilaian kendiri perlu dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran sebagai refleksi atau muhasabah berkaitan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran perlu diperbaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang perlu dibuat refleksi ialah objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid disamping keazaman guru untuk memperbaiki pengajarannya.

Aplikasi Pengajaran Makro. Pengajaran mikro ialah penyampaian pelajaran lengkap yang mengandungi kemahiran-kemahiran pelbagai dalam satu sesi pengajaran pembelajaran dalam kelas sebenar. Pengajaran makro dipraktikkan oleh guru pelatih dengan diperhatikan oleh rakan pelatih yang lain. Pengajaran mikro berdasarkan masa pengajaran sebenar seperti yang ditetapkan, samaada menggunakan masa 30 minit atau 40 minit. Ianya bertujuan membiasakan guru pelatih melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran, disamping mereka dapat memperbaiki kelemahan sebelum mereka menghadapi situasi pengajaran sebenar di bilik darjah di sekolah.

            Terdapat tiga bahagian penting dalam pengajaran iaitu bahagian persediaan, penyampaian dan bahagian peneguhan atau penutup. Guru harus menguasai ketiga-tiga komponen ini. Dalam aspek penggabungjalinan kemahiran juga perlu dinyatakan sebagai sebahagian daripada persediaan mengajar. Objektif pengajaran merupakan bahagian yang sangat penting dalam sesuatu pengajaran. Dalam menyediakan sesuatu persediaan mengajar yang baik, kriteria penilaian perlu diberi perhatian oleh guru. Seorang guru yang prihatin harus peka penentuan hasil daripada pengajaran dan pembelajarannya.

            Sebelum membuat rancangan harian, guru harus memastikan apa yang perlu dikuasai oleh murid agar apa yang hendak disampaikan nanti dapat diaplikasikan dan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan oleh murid-murid. Guru juga haruslah merancang kaedah atau sumber yang sesuai bagi membantu melaksanakan penilaian kelak. Hasil pelajaran haruslah dirujuk kepada sukatan pelajaran dan pastikan aras pembelajaran mengikut aras dari mudah ke sukar agar hasil pembelajaran dapat dinyatakan dengan tepat, eksplisit dan jelas . Guru harus memastikan set induksi bertepatan dengan objektif pelajaran, bermakna dan mengikut tahap murid-murid. Set Induksi juga berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid-murid.


Prosedur Pengajaran Makro
Perancangan

*  Kejayaan bergantung kepada perancangan yang rapi.
*  Komponen persediaan;- tarikh, masa, mata pelajaran, kelas, bilangan pelajar dan tajuk
*  Kemahiran:-nombor kemahiran isinya
*  Pengetahuan sedia ada
*  Objektif pelajaran (kognitif/psikomotor/efektif)
*  Sumber P&P
*  Penerapan Nilai murni
*  Penggabungjalinan kemahiran

  a.. Prosedur sebelum Pengajaran Makro dijalankan :

Pemilihan pendekatan, kaedah dan teknik

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran guru hendaklah menggunakan pendekatan yang lebih kreatif untuk menarik minat murid melalui proses kefahaman, kreativiti dan inovasi, mengaplikasikan pendekatan, kemahiran memilih dan sebagainya. Pemilihan pendekatan yang sesuai akan dapat mewujudkan satu kondusif pembelajaran dalam mencungkil keupayaan murid membuat sumbangsaran, menyusun atur dan menyenarai topik yang dipelajari. Pendekatan yang sesuai juga akan dapat mengembangkan lagi pengetahuan sedia ada murid.
Kaedah dan teknik : Mata pelajaran Al Quran mengandungi tajuk-tajuk yang terdapat pula sub-sub tajuk seperti yang telah dibincangkan dalam nota grafik. Ini menjelaskan bahawa, guru perlu menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai untuk serta dapat diaplikasikan dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sebenar di dalam bilik darjah. Kaedah dan teknik tersebut membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.


   b.   Prosedur semasa Pengajaran Makro dijalankan:

Pengaplikasian kaedah yang dipilih dan keberkesanannya dalam pengajaran dan pembelajaran. 
 
Secara ringkasnya setiap kaedah yang dipilih hendaklah dipastikan keberkesanannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara faktor-faktor yang menunjukkan kepada keberkesanan tersebut adalah seperti berikut:
Ø  Menarik perhatian murid.
Ø  Mewujudkan motivasi.
Ø  Adanya perkembangan ilmu di dalam pengetahuan sedia ada murid.
Ø  Menyenaraikan, sumbangsaran, membanding beza dan berlakunya perubahan tingkahlaku murid.

c.   Prosedur selepas Pengajaran Makro dijalankan
Cadangan penambahbaikan dari segi pemilihan pendekatan, kaedah dan teknik dan pelaksanaannya  dalam proses pengajaran dan pembelajaran

      Penilaian kendiri perlu dibuat setelah selesai melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai satu refleksi berkenaan dengan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran tersebut perlu dibaiki dalam pelajaran akan datang. Antara penambahbaikan yang perlu ada ialah pencapaian objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid serta keazaman guru bagi membaiki pengajaranya. Penambahbaikan juga perlu dilihat kepada perkembangan murid dan penerimaan mereka berdasarkan kepada langkah-langkah pengajaran yang disusun secara berperingkat-peringkat.

Pemilihan strategi yang bijaksana akan menjamin kelicinan dan keberkesanan penyampaian sesuatu pelajaran, strategi pengajaran yang sesuai bukan sahaja dapat meningkatkan mutu penyampaian malahan ia akan menjadikan satu-satu pelajaran itu lebih bermakna serta menyeronokkan murid-murid.

1 comment: