Wednesday 13 June 2012


Ciri-ciri Guru yang Berkesan


Perbincangan tentang guru yang berkesan memang banyak ditulis dan juga dikaji. Aspek keberkesanan dilihat dari segi sekolah, pengurusan, media pengajaran, latihan guru dan lainlain. Dalam bahagian ini penumpuan diberikan kepada guru.
Antara ciri-cirinya adalah:

(a) Kecekapan Bidang

Seseorang guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mendalam tentang bidangnya. Pengetahuan yang mendalam membantu guru mengajar dengan penuh yakin. Guru yang mengetahui bidangnya dengan mendalam juga dapat mengawal kelas dengan baik kerana beliau dapat menggunakan kecekapan itu untuk merancang dan mengajar dengan baik. Guru juga perlu menyedari bahawa tidak semua yang dipelajari di pusat pengajian, dapat memenuhi keperluan di sekolah. Bagaimanapun, guru yang
berkesan akan terus menerima tanggungjawab untuk mempelajari perkara yang beliau kurang mahir.

(b) Kepelbagaian Kaedah Mengajar

Pembelajaran pelajar akan berlaku dengan baik jika guru mengetahui kaedah yang sesuai dengan isi pelajaran. Kaedah pengajaran untuk mengajar teori adalah berbeza daripada kaedah untuk mengajar kemahiran. Oleh itu, guru perlu berkemahiran dalam pelbagai kaedah mengajar.

(c) Penglibatan Pelajar dalam Pengajaran

Guru yang berkesan sentiasa memikirkan bagaimana hendak melibatkan pelajar dalam pengajarannya. Penglibatan pelajar boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar. Penglibatan ini adalah dalam bentuk aktiviti pembelajaran, penyoalan dan lain-lain. Guru yang berkesan akan sentiasa sensitif dan prihatin dengan keperluan pelajar.

(d) Enthusiasm

Guru yang bersemangat (enthusiastic) akan mempamerkan keyakinan dalam perkara yang hendak diajar. Guru berkenaan menunjukkan kesungguhan semasa mengajar melalui nada suara dan gerak geri yang menunjukkan bahawa perkara yang hendak diajar adalah penting dan menarik. Guru juga kelihatan bertenaga dan gembira semasa mengajar.

(e) Susunan dan Kejelasan

Guru yang berkesan menyediakan objektif pengajaran dengan jelas. Isi pelajaran dan aktiviti pengajaran disusun mengikut objektif berkenaan. Isi pelajaran juga disampaikan mengikut urutan dan penerangan guru jelas dan boleh difahami oleh pelajar. Ini seterusnya menyumbang kepada pencapaian pelajar.

No comments:

Post a Comment